الثلاثاء، 10 سبتمبر 2013

TEARS..

Mati di usia yang muda,tidak pasti sama ada ramai yang mahukan atau tidak.Namun untuk aku semestinya tidak,untuk Dia aku relakan..

Pintu yang berwarna coklat lusuh aku tolak,pandangan mata dan kaki seiring berjalan.Mataku berkabus sambil melihat isi rumah,semuanya tinggal kenangan.Tangan perlahan menyentuh bingkai gambar "keluarga bahagia" masih setia tergantung,semuanya tersenyum gembira.

Di tengah-tengah sawah itulah terdirinya rumah arwah nenek,tempat aku dilahir dan dibesarkan.Bila tiba musim menanam padi,budak hingusan inilah sering mengikut neneknya ke sawah.Sebelum pergi ke sawah,nenek akan membawa satu plastik penuh abu dari dapur kayu.Abu tersebut berfungsi untuk membunuh lintah dan pacat yang berani singgah di paha kami semasa menanam.Tapi sekarang petak sawah itu sudah tidak dikerjakan,semuanya tinggal kenangan,semuanya meninggalkanku.Hati ini menangis lagi.

Setelah kematian nenek,rumah itu dijaga oleh Paksu,Paksu ialah gelaran untuk adik bongsu lelaki ibuku.Dialah yang tinggal di rumah usang itu seorang diri ditemani kenangan lalu.Aku mungkin tidak tahu apa yang dia rasa dan lalui,tapi aku yakin setiap langkah yang dihayun di setiap sudut rumah itu menyakitkannya.Bila ke dapur semestinya suara arwah nenek terngiang-ngiang,"Paksu makan tu pelan-pelan.Paksu makan tu basuh pinggan sendiri.Paksu tutup peti perlahan.Paksu kecilkan api gas".Itu semua pasti dilaluinya,tidak termasuk lagi di ruangan menonton,bilik tidur dan halaman rumah.Semuanya pasti menyakitkan.Rumah yang dulu dipenuhi gelak ketawa adik-beradik seramai 9 orang ditambah keriuhan cucu-cucu kini sunyi bertemankan cengkerik buta.Beginikah yang dinamakan kehidupan..?

Paksu bukanlah seorang yang biasa,yang bangun di awal subuh,bekerja dan pulang jam 5 petang,berehat minum petang sambil bermain bersama anak-anak.Tidak,dia tidak pernah merasakan semua itu.Hidupnya ibarat layang-layang yang terputus talinya,terus terbang tanpa arah sementara menunggu rebah ke bumi.Mengapa sampai jadi begini sedangkan pasti semua tahu tiada siapa yang menginginkan kehidupan yang pahit.Mungkin juga hati kecilnya pernah bertanya untuk apakah dia dilahirkan sehingga akhir hayatnya.

Sudah berulang kali ibu memujuk Paksu untuk ke hospital namun setiap kali itulah juga ditolak.Penyakit tiroidnya semakin serius,tengkuknya semakin membesar,badannya kurus kering,bebola matanya semakin membesar seperti mahu tersembur keluar dan dia hanya melindungi kecacatannya dengan cermin mata.Berulang kali jugalah ibu memujuk supaya Paksu tinggal bersama kami.Paling tidak makan minum dan sakit demam Paksu terjamin,tapi Paksu tetap memilih rumah usang nenek untuk terus berbakti kepadanya sehingga akhir hayat.Mungkin juga dia tidak mahu menyusahkan ibu dan ayah.

Sebelum meninggal,arwah nenek sempat membelikan motor honda second hand untuk Paksu dan sehingga sekarang motor itulah yang menjadi penemannya,sepuluh kali rosak sepuluh kali jugalah dia setia membaiki motor itu.Setiap pagi seawal jam 7 bunyi enjin motor honda Paksu pasti akan kedengaran di luar rumah kami.Begitulah rutin hariannya setiap pagi untuk mendapatkan wang belanja.Lima belas ringgit sehari tidak termasuk belanja dapur aku kira itulah perkhimatan yang terbaik dari ibu untuk adiknya.Sebetulnya memang ibu yang memegang duit belanja bulanan Paksu hasil dari tanah getah,tapi jika dikira-kira duit hasil getah itu memang tidak cukup,tapi ibu tidak lokek menggunakan wangnya untuk diberikan kepada Paksu.Begitulah juga yang terjadi setiap kali hari raya,ibu pasti akan membawa aku ke kedai untuk memilih Baju Melayu berserta kain pelikat baru untuk Paksu pakai di hari Lebaran.Sepatu juga pasti ibu beli yang mahal dan tahan lama.Biarpun berstatus isteri,ibu dan guru,namun dia tidak pernah lupa tanggungjawab terhadap adiknya itu.

Dua bulan sebelum pergi,Paksu demam kuat sehingga tak mampu untuk menguruskan diri,ibu megambil Paksu tinggal di rumah kami supaya senang ibu pantau.Suhu badannya tinggi mendadak,makannya ibu suapkan,kepalanya ibu picitkan,badannya ibu lapkan dengan kain basah.Selepas seminggu,demam Paksu kebas dan dia kembali ke rumah usang itu.Rutin hariannya kembali seperti biasa.

Ramadhan 2013 tiba,awal puasa Paksu masih berpuasa sehinggalah dipertengahan puasa dia mula ponteng,mungkin kesan dari penyakit yang dihidapinya membuatkanya mudah letih walaupun tidak melakukan sebarang kerja.Lapan hari sebelum Menyambut Syawal hari Rabu sebelum zohor Paksu datang ke rumah untuk meminta wang dari ibu,usai mendapatkan wang tanpa meninggalkan tanda paksu pulang ke rumahnya.Kali terakhir aku melihatnya,berbaju melayu berwarna hijau muda dan berseluar slack.

Pagi khamis berlalu dengan bersahaja,Paksu tidak muncul seperti biasa.Zohor sehingga asar juga begitu.Ayah mula risau dan bertanya ibu tentang adik iparnya,ayah menyuruh ibu menjenguk Paksu di rumahnya namun ibu masih bersangka baik kerana biasanya ada juga jiran-jiran jauh yang ringan tangan menghulurkan wang dan makanan berbuka untuk Paksu.Allah juga langsung tidak menghantar isyarat untuk ibu menjenguk Paksu,hatinya tidak terlintas langsung akan sesuatu yang tidak elok yang mungkin berlaku pada Paksu sehinggalah tiba Jumaat..

Jumaat itu juga berlalu seperti semalam,Paksu masih tidak muncul.Ibu sudah tidak sedap duduk,lalu ibu mengajak adik perempuanku untuk menjenguk Paksu.Setibanya mereka di rumah Paksu,jantung ibu berdegup kencang seolah dapat menghidu sesuatu yang buruk berlaku.Sepatu biru tua Paksu setia di atas tangga,motor hondanya juga ada di ruangan parking,lampu di luar rumah juga masih terbuka.Ibu sudah menangis,air matanya laju mengalir,hatinya kuat mengatakan yang Paksu sudah tiada.Ibu hilang kekuatan untuk masuk ke dalam rumah itu.Adik perempuanku sambil ketakutan menendang pintu dengan kuat.Dadanya menangis tetapi tepu dengan harapan yang "Paksu ada,Paksu ada,Paksu ok lagi".

Lampu rumah juga tidak tertutup seolah semuanya terjadi di waktu malam.Ibu memberi arahan dari luar rumah supaya adik membuka pintu bilik tidur Paksu,adik memulas tombol pintu dan membukanya.Adik terkejut,lidahnya kelu tanpa sepatah kata lalu dipalingkan wajahnya ke arah ibu.Ibu menanti jawapan dari adik."Paksu dah takde",kata adik sambil menahan sebak.Ibu terduduk di atas tangga sambil mengurut dada sambil menahan sebak."Innalillahi wainna ilihiraji'un,Paksu dah takde,Paksu dah takde"ulang ibu dengan sayu.

Ye!aku mengandaikan Paksu sudah 2 hari meninggal,sudah 2 hari jugalah mayatnya begitu tanpa siapa yang 
tahu.Mungkin juga dia sakit pada malam khamis kerana tanda-tanda pada mayat menunjukkan Paksu sudah lama meninggal.Mungkin tiroidnya pecah dari dalam menyebabkan semua organ-organ lain rosak.Papan rumah menadah darah yang keluar dari telinganya,air yang keluar dari dalam hidungnya,matanya juga terbeliak seolah menggambarkan betapa sakitnya Paksu ketika malaikat datang menjemput,mayatnya juga membengkak.Allah mengakhiri cerita Paksu begitu,melawan sakit tanpa ada sesiapa di sisi,menahan derita tanpa pernah mengadu,menahan sakit saat sakaratul maut menjemput tanpa ada sesiapa mengajar mengucap di sisi.Kedua tangannya tergenggam seolah jika ada seseorang di sisi yang memegang tangannya pasti tangan orang yang di sisinya juga terasa sakit.

Kata ibu,biarlah dia pergi daripada dia hidup menderita.Kata ibu,arwah Paksu tak pernah ada masalah dengan manusia,dia tidak bergaul dan mencampuri urusan orang,kalau berdosa pun mungkin dengan Allah. Kami hanya mengambil masa selama 5 jam untuk menguruskan jenazah,dari jam 2 petang sehingga jam 7 malam,jenazah selamat dikebumikan,kubur arwah Paksu berdekatan dengan kubur arwah atok,ayah ibu di bawah pohon besar di Tanah Perkuburan Kampung Pek.

"Aku tak percaya mayat ni 2 hari,nampak macam dah 7 hari" Makcik A.

"Ada sdare pun tak boleh harap,nak jaga adik sorang pun susah" Makcik B

Itulah antara tomahan yang terpaksa ibu terima,ibu hanya senyap langsung tidak membalas.Kata ibu,ibu dah buat yang terbaik untuk arwah,ibu tak pernah meminta perkara sebegini terjadi,ibu puas hati sebab ibu dah jaga arwah dengan sepenuh hati,ibu tak pernah mengharapkan balasan dari manusia,cukuplah Allah mengetahui segalanya.Ibu hanya sedih kerana tiada di sisi Paksu ketika dia benar-benar memerlukan.Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai saat sakitnya mati,mudah atau payah bergantung pada amalan.Sinetron dunia,masa hidup batang hidung pun tak nampak,bila meninggal mula menuding jari.Kemanakah kamu masyarakat semua..??

Bingkai gambar yang tergantung di dinding usang aku cabut lalu ku letakkan di dalam kotak,buaian berkembar berwarna kuning merah yang arwah nenek beli masih setia gagah di tepi jendela.Mata seolah terbayang saat aku bermain buaian sambil menanti arwah nenek membancuh kopi.Kemudian arwah Paksu keluar dari dalam bilik,menuju ke rak pinggan,menyedok nasi ke pinggan lalu dituangkan kicap.Makan nasi berlaukkan telur mata kerbau.Sungguh aku rindukan mereka.Kini semuanya sudah tiada,nenek sudah pergi,Paksu juga dah pergi ikut nenek.Siapakah yang bakal menyusul,mungkinkah aku dulu,ibu dulu,atau...KAMU?

Pintu usang kututup rapat,kaki lambat menyusun langkah meninggalkan rumah yang penuh kenangan.Kita jumpa nanti ye Nek,Paksu...


ليست هناك تعليقات:

إرسال تعليق